Peranan Mahasiswa Masakini



Selepas berlakunya penggulingan Presiden kuku besi iaitu Presiden Zine El-Abidine Ben Ali di Tunisia melalui Revolusi, dunia sekali lagi menyaksikan penggulingan ‘Firaun Mesir Moden’ iaitu Presiden Hosni Mubarak oleh gelombang kebangkitan rakyat mesir melalui perhimpunan 18 hari di dataran Tahrir. Turunnya pemerintahan yang dianngap sebagai ‘dinasor’ tersebut sekali gus telah mengubah segalanya dari segi kepimpinan dan juga pentadbiran di Negara berkenaan. Apa yang menarik perhatian penulis ialah sejumlah besar golongan yang menuntut perubahan adalah daripada mereka yang berada dalam golongan muda dan mahasiswa.

Apabila membicarakan soal mahasiswa, terdapat banyak aspek dan dimensi perbicaraan yang boleh kita bincangkan. Adalah satu hal yang tidak perlu diterangkan lagi dan tidak perlu diulas panjang lebar bahawa kelompok mahasiswa adalah merupakan kelompok terpenting dalam sesebuah masyarakat. Sejarah telah banyak melakar contoh bagaimana kelompok mahasiswa memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan dan revolusi. Apa yang telah berlaku dalam sejarah telah membuktikan bahawa peranan mahasiswa dalam sebuah masyarakat ataupun negara bukanlah peranan yang picisan, tetapi adalah merupakan peranan yang sangat signifikan.mahasiswa islam itu juga perlu tahu akan apa yang akan dipertanggungjawabkannya. Namun, merenungi kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali r.a 
: “Bukanlah orang muda yang hanya mengatakan: ‘Ayahku begini!’, tetapi orang muda adalah yang mengatakan: ‘Ini aku!’”.

Bukanlah sejarah itu yang ingin gila-gila dinostalgiakan, tetapi sekadar menyemangatinya dan meneladaninya agar dapat meniupkan semangat mahasiswa untuk membina dan melakar sejarah tersendiri dan mampu bangun bersama semua mahasiswa yang mana agenda mereka hampir sama..

"Di atas robohan Kota Melaka, Kita dirikan jiwa merdeka, Bersatu padulah segenap baka, Membela hak keadilan pusaka."
- Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Kongres Kebangsaan PKMM

Bait-bait pantun yang tersohor tersebut merupakan satu seruan oleh tokoh pejuang kemerdekaan negara yang terkenal, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, yang mengandungi maksud yang begitu mendalam maknanya. Kata-kata tersebut mengajak anak muda, khususnya mahasiswa, untuk bangkit daripada belenggu kongkongan dan memerdekakan jiwa daripada segala anasir-anasir penjajah yang mencemar budaya dan jatidiri anak bangsa. Jatidiri bangsa tempatan, tidak lain dan tidak bukan, adalah jatidiri seorang Muslim yang sejati.

Pada malam gerimis itu aku bilang padamu “Kalau kau mahu menyelami jiwa Melayu, kau perlu tahu al-Quran dan Sufisme” di situlah intijiwanya.
- Kemala, Kuala Lumpur, 1982.


Justeru, seorang mahasiswa Islam perlu memainkan peranannya dengan sebenar-benar peranan. Seorang mahasiswa hadir ke universiti atau ke politeknik khususnya ipt untuk menuntut, menguasai dan mengembangkan ilmu. Itu antara peranan utama mahasiswa. Namun, noktahnya bukan di situ. Adalah sesuatu yang sangat malang apabila peranan mahasiswa dengan potensinya sebagai generasi perubah itu tersekat, sehingga kini mewujudkan fenomena 3K (kolej, kuliah, kantin) yang begitu menguasai dunia mahasiswa sehingga mereka hilang segala kekuatan idealisme,intelektualisme dan aktivisme.   
                                     
Mahasiswa perlu kembali memperkasa peranan mereka dalam membina jiwa merdeka anak muda kini. Sepertimana yang pernah diungkapkan oleh seorang pemikiran Islam dari Algeria, Malek Bin Nabi tentang perlunya membina ‘istiqlālul-‘aql ba’da istiqlālul-watan’. Persoalan yang sudah sekian lama timbul adalah adakah masyarakat di negara ini sudah betul-betul merdeka jiwa dan akalnya? Adakah masyarakat sudah benar-benar merdeka, yakni merdeka daripada segala anasir-anasir penjajah yang mencemar jatidiri mereka sebagai masyarakat Islam? Tentu sekali tidak. Masyarakat masih lagi memandang kepada masyarakat Barat sebagai kelompok yang superior. Produk-produk yang berjenama popular yang asalnya daripada Barat dilihat sebagai lebih berkualiti berbanding produk keluaran tempatan atau negara Islam yang lain. Sistem dan budaya di negara lain sering dijadikan contoh untuk diikuti di negara ini. Berapa banyakkah rancangan-rancangan televisyen di negara ini yang merupakan carbon copy kepada rancangan-rancangan di Barat? Mengapakah pula pembelajaran sains dan matematik di sekolah-sekolah dilaksanakan sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris?

Apabila masyarakat masih terbelenggu dalam satu sistem dan gaya hidup masyarakat Barat, ia akan terdidik untuk menjadi orang yang seperti mereka. Sistem pendidikan yang diaplikasi kini datangnya daripada Barat, dan adalah merupakan satu sistem pendidikan yang sifatnya eksklusif sedangkan sistem pendidikan Islam adalah bersifat inklusif. Hasilnya, lahirlah generasi yang dangkal pemikirannya dan tidak mampu melihat tasawwur Islam dengan sebenarnya dan sepenuhnya.

“Men are born ignorant, not stupid. They are made stupid by the education.”
- Bertrand Russell
                                                      
Dalam konteks itulah, mahasiswa Islam mempunyai peranan yang sangat penting sebagai penggerak dalam sebuah organisasi. Sebagai kelompok yang paling berpengaruh dalam masyarakat, mahasiswa perlu keluar daripada kongkongan belenggu gaya hidup yang mewujudkan sifat mati rasa dan jiwa santai. Di samping menumpukan perhatian untuk mencapai kecemerlangan akademik, yang seandainya dilakukan dengan niat dan kaedah yang betul adalah merupakan salah satu daripada cabang ibadah dalam Islam, mahasiswa juga perlu memahami peranan dan tanggungjawab mereka yang lebih fundamental sifatnya. Mahasiswa Islam perlu melihat peranan mereka yang cukup besar dan penting khususnya dalam dimensi misi ikhrājunnās min-al-zulumāt ila-an-nūr.

 
Bagi memahami tuntutan misi ikhrājunnās min-al-zulumāt ila-an-nūr dalam kehidupan seorang mahasiswa Islam, adalah penting untuk kita terlebih dahulu memahami matlamat kehidupan seorang manusia itu sendiri. Manusia diciptakan dengan tujuan dan matlamat, kerana mustahil bagi Allah untuk mencipta sesuatu itu dengan sia-sia. Justeru, matlamat kepada penciptaan manusia itu sendiri pastinya adalah merupakan perkara penting yang perlu direalisasikan oleh para mahasiswa Islam.

Seandainya seorang mahasiswa Islam tidak menjalankan peranannya yang utama sebagai seorang manusia, maka pastinya manusiawi itu akan tercabut daripada jiwa seorang mahasiswa.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.

 “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.” (Adz-Dzāriyāt: ayat 56-58)

Manusia mempunyai peranan untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan pengabdian yang total. Pengabdian manusia kepada Allah tidak mendatangkan apa-apa faedah dan tidak pula mengurangi apa-apa bagi Allah. Pengabdian diri secara total di sini bermakna kita memusatkan segala aktiviti dalam kehidupan kita, sama ada pembelajaran, perniagaan atau hubungan sesama manusia, semata-mata kerana Allah. Ini juga bermaksud kita membebaskan diri daripada sebarang kebergantungan dengan makhluk. Dalam erti kata yang lebih luas, pengabdian secara total kepada Allah juga bermaksud kita mematuhi segala syariat Allah, mematuhi perundangan Allah dan bukannya perundangan buatan manusia, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang sesuai dengan ketetapan hukum-hukum Allah.

Dalam konteks pengabdian total kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, manusia boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

1. Golongan yang hidup untuk dunia sahaja

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala 

“Dan tentu mereka akan mengatakan (pula): ‘Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja, dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan.’” (Al-An’ām: ayat 29)

2. Golongan yang sesat antara dunia dan akhirat

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala 

 “Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosakkan tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan.” (Al-Baqarah: 204-205)

3. Golongan yang menganggap dunia ini ladang tanaman untuk akhirat

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala 
 “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” 
(Al-An’ām: ayat 32)

Justeru, apabila seseorang itu telah mengenali Allah, memahami fungsi dan peranan Rasulullah, seseorang itu pasti akan memahami dengan sebenar-benarnya matlamat kehidupannya. Hakikatnya, kehidupan di dunia ini adalah merupakan tempat persinggahan sementara untuk manusia mengumpul bekal buat kehidupan abadi di akhirat kelak.

Dalam konteks itu, Ustaz Fuad Kamaluddin Al-Maliki dalam membicarakan kitab ‘Al-Hikam’ menyebut bahawa pengabdian total kita kepada Allah bermakna kita menyerahkan diri kita untuk diurus dan ditadbir oleh Allah. Apa yang berlaku pada masa kini adalah kebanyakan orang menghabiskan masanya untuk mengurus dan mentadbir dunia, sehingga mengabaikan dimensi pengabdian diri kepada Allah. Akhirnya, urusan dan pentadbiran dunia tidak akan habis, malah mungkin bertimbun-timbun lagi kerjanya. Walhal, apabila kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah untuk diuruskan dan ditadbir, maka Allah akan memalingkan dunia untuk berkhidmat kepada kita.

Abu Hassan Al-Syazuli pernah berkata: “Orang yang bodoh, apabila bangun pagi akan memikirkan apa yang hendak dilakukannya pada hari itu. Orang yang pandai, apabila bangun pagi akan memikirkan apa yang Allah akan buat pada hari itu.”

Seterusnya, apabila kita sudah memahami bahawa seluruh kehidupan kita ini adalah semata-mata untuk Allah, maka kita juga akan memahami bahawa setiap sesuatu urusan yang berkaitan dengan kehidupan dunia ini haruslah mengikut aturan dan ketetapan Allah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala 

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisā’: ayat 65)

Sebagai golongan yang tidak berkepentingan serta sangat berkemampuan untuk menilai masyarakat dan sistem sosial secara adil dan objektif, golongan mahasiswa dengan akal yang sihat dan iman yang mantap semestinya memahami bahawa masyarakat kita masih lagi belum mencapai tahap pengabdian yang sepenuhnya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Masyarakat kita masih lagi terbelenggu dengan tuntutan dunia, terpengaruh dengan sistem dan budaya tāghut. Sedangkan, tāghut itu membawa manusia daripada cahaya iman kepada kegelapan jahiliah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala
 “Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah tāghut, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: ayat 257)

Maka, dalam konteks itulah mahasiswa berperanan untuk membebaskan manusia daripada terpengaruh dan terbelenggu dengan sistem dan budaya jahiliah, membawa mereka untuk mengecapi nikmat dan kemanisan cahaya iman. Itulah misi ikhrājunnās min-al-zulumāt ila-an-nūr yang perlu didokong oleh generasi mahasiswa, kerana mahasiswa Islamlah yang mempunyai kemampuan yang sangat besar untuk mencetus perubahan. Sejarah telah membuktikan bagaimana anak muda telah banyak kali memainkan peranan yang penting dalam mencetus revolusi dan reformasi; seperti kisah Muhammad Al-Fatih, Muhammad Bin Qasim, kisah tragedi berdarah Tianenmen Square, kisah Revolusi Iran mahupun peristiwa ‘reformasi’ di negara kita sekitar tahun 1998-1999.

 

Golongan mahasiswa seharusnya tidak tertipu dan lalai dengan sistem pendidikan dan sosial yang ada pada ketika ini, yang memang direkabentuk dengan sengaja untuk membantutkan idealisme, intelektualisme dan aktivisme mahasiswa. Bukanlah maksudnya mahasiswa perlu mengabaikan pelajaran dan akademik untuk melaksanakan program-program dan aktiviti sosial sepenuhnya, tetapi mahasiswa perlu memahami peranannya dengan sebaik-baiknya dan menjalankan peranannya secara kolektif dan tersusun dalam wilayah pengaruh dan batas kemampuan yang ada. Mahasiswa Islam harus punya keyakinan bahawa misi ikhrājunnās min-al-zulumāt ila-an-nūr ini adalah satu misi mulia, dan hakikatnya kemuliaan itu hanyalah kemuliaan di sisi Allah.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala

“...Dan kemuliaan itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang yang beriman...” (Al-Munāfiqūn: ayat 8)

Mahasiswa juga perlu meyakini bahawa keterlibatan dalam amal Islami ini tidaklah akan menjejaskan prestasi akademik. Apa yang penting adalah mahasiswa perlu memahami keutamaan dan melakukan pengorbanan. Mahasiswa yang benar-benar menginsafi perananannya dan beriltizam dengan misi ikhrājunnās min-al-zulumāt ila-an-nūr ini pasti akan dapat mengatur kehidupannya dengan sebaik-baiknya untuk melaksanakan setiap amanah dan tanggungjawab yang terpikul di bahunya. Seperti apa yang pernah diungkapkan oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna: “Sesungguhnya kewajipan yang ada itu lebih banyak daripada waktu yang ada.”. Ini menggambarkan bahawa seorang mahasiswa itu sebenarnya tidak mempunyai masa untuk bermain-main dan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah atau kurang faedahnya seperti menonton drama televisyen, bermain permainan komputer, melepak, berpacaran dan sebagainya. Sebaliknya seorang mahasiswa Islam perlu menghabiskan masanya dengan usaha-usaha amal Islami dengan niat yang ikhlas, kerana hanya mahasiswa Islam yang ikhlas berjuang sahaja yang akan mendapat pertolongan dan kemudahan daripada Allah. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan bahawa sesiapa yang berusaha untuk mempertahankan dan menegakkan agama Allah, maka pasti Allah akan menghadirkan pertolongan-Nya.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad: ayat 7)

 
Apa yang penting sekarang ini adalah para mahasiswa menggembleng segenap potensi yang ada pada diri mereka, dan melaksanakan tugas sebagai hamba Allah, untuk membebaskan masyarakat daripada belenggu kejahilan jajaan tāghut dan membawa mereka kepada cahaya iman. Tugas besar ini pastinya memerlukan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak. Tenaga dan kepakaran yang pelbagai yang ada pada mahasiswa Islam harus digembleng tanpa mengambilkira perbezaan fahaman dan ideologi politik. Apa yang penting kini adalah mahasiswa Islam dapat menghayati misi ikhrājunnās min-al-zulumāt ila-an-nūr agar kehidupan sebagai seorang mahasiswa itu lebih bermakna bagi dirinya dan bagi umat Islam seluruhnya.

wallahualam..

No comments:

Post a Comment